KUALA LUMPUR, 5 Februari:

Dua anggota kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 19 Jalan Air Papan – Tanjung Resang, dekat Mersing, Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan M. Kumar berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Mangsa, Raden Benni RS Tanwidjaja, 53, dan seorang lagi Ismail Muhamat, 57, maut serta-merta di tempat kejadian.
Menurutnya, kenderaan Toyota Hilux dipandu Raden Benni dari arah Jalan Air Papan ke Tanjung Resang terbabas sebelum memasuki lorong bertentangan dan merempuh kenderaan jenis sama dipandu Ismail.
“Kejadian tersebut menyebabkan Abdul Aziz Wahab, 59, yang menaiki kenderaan sama dengan Raden Benni dan penumpang kenderaan Ismail, Yusof Sahak, 42, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
“Raden Benni dan Abdul Aziz bertugas di kem PLKN di Rembau manakala Ismail dan Yusof dari kem PLKN Port Dickson,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini pada Khamis.
Difahamkan, kesemua mereka berada di Mersing untuk menghadiri mesyuarat di kem PLKN Teluk Sari, Endau, Mersing.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat dan rawatan.
Kes disiasat di mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.